Saudara Pengarang,
Assalamualaikkum,
Sungguh kecewa rasanya apabila terbaca ruangan pendapat yang ditulis oleh seorang penulis akhbar Oriental Daily bernama Hong Wei Jun minggu lalu. Pendapat yang disiar di halaman 34 berkisar tentang Kuota Melayu yang semakin mengecil.
Menurut penulis, beliau merasakan kedudukan orang Melayu semakin terancam gara-gara kerajaan cuba berlaku adil kepada rakyat dengan mengilhamkan gagasan 1 Malaysia.
Jika dilihat dari sudut pembangunan ekonomi dan rangsangan transformasi ETP yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menggabungkan kepentingan hak dan kepelbagaian kaum untuk turut serta dalam programnya itu.
Biarpun kuota Melayu asyik diagih untuk kepentingan bangsa lain. Melayu tidak langsung rasa tergugat kerana Ketuanan Melayu sudah termaktub di bawah Akta Perlembagaan 153. Jadi tidak perlu rasanya Hong Wei Jun ini bimbang dengan kedudukan Melayu yang disifatkan semakin terancam.
Selain itu, dakwaan Wei Jun kerajaan sedang menutup kelemahan Melayu dengan menggalakkan lebih ramai orang Melayu menceburi bidang keusahawanan adalah tidak benar. Sebenarnya tujuan kerajaan berbuat demikian untuk membela nasib rakyat yang ketinggalan. Sekaligus membuktikan kerajaan amat perhatin dengan mereka.
Menyentuh soal pembukaan kuota kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Matrikulasi bukanlah satu agenda yang besar perlu dibincangkan lagi kerana prestasi pelajar yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar Melayu tidak pernah merundum setiap tahun. Hakikatnya kerajaan bertindak sedemikian bagi memastikan taburan mahasiswa dan mahasiswi yang tidak mempunyai tempat di Universiti dan IPTA mendapat tempat yang sewajarnya. Justeru itu, langkah ini dapat mengurangkan masalah pelajar merempat mencari tempat menimba ilmu.
Di samping itu, bukankah golongan bukan Bumiputra dapat menjimatkan kos perbelanjaan kemasukan pelajar dengan mendaftar terus dengan IPTA yang diiktiraf kerajaan. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan beban rakyat sendiri.
Betapa besar pengiktirafan kerajaan terhadap golongan bukan Bumiputra untuk mengelakkan mereka merasa terpinggir dalam pendidikan. Jadi berhentilah memperkecilkan pengorbanan bangsa lain atas dasar 1 Malaysia.
Suara 1Malaysia.
Awekz: Renungan untuk kita fikirkan bersama...



































